PENGERTIAN ISLAM, IMAN, IHSAN DAN HUBUNGANNYA.

 1.0 MAKNA ISLAM

Islam dari segi bahasa merujuk kepada perbuatan patuh dan berserah diri kepada Allah. Mengikut syarak, Islam merupakan amalan taat kepada perintah Allah melalui ajaran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad. Islam merupakan agama yang terbina di atas rukun-rukun Islam sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis ini:

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يَقُولُ: " بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ".

Maksudnya: Dari Abdullah Bin Umar ibn al-Khattab, yang berkata:

Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Islam itu didirikan di atas lima perkara: bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Hal ini menunjukkan bahawa seseorang yang mahu taat kepada perintah Allah adalah perlu melalui agama Islam sahaja. Pernyataan ini dikukuhkan lagi berdasarkan kepada ayat Al-Quran tersebut:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًۭا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ (٨٥)

“Sesiapa yang mencari jalan selain Islam, tidak akan diterima daripada mereka, dan di akhirat mereka termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran: 85)

Berdasarkan hadis dan potongan ayat Al-Quran berkenaan, terbuktilah bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang diredhai Allah dan didirikan di atas rukun-rukun Islam iaitu:

  • Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah.
  • Mendirikan solat fardhu lima waktu sehari.
  • Mengeluarkan zakat.
  • Mengerjakan haji ke Baitullah.
  • Berpuasa di bulan Ramadhan.

Rukun-rukun Islam ini wajib ditaati dalam kehidupan setiap umat Islam. Kegagalan mentaati atau mempercayai rukun-rukun Islam ini akan mengakibatkan keislaman seseorang itu tergugat. Oleh hal yang demikian, adalah penting bagi umat Islam supaya mempercayai dan mentaati rukun-rukun ini supaya diredhai Allah.


2.0 MAKNA IMAN

Dari segi bahasa, iman bermaksud kepada percaya dan membenarkan. Manakala, mengikut syarak pula, iman bermaksud kepada percaya dengan hati, mengakui menggunakan lidah dan beramal menggunakan anggota. Di dalam Al-Quran, Allah berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ ءَامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَٱلْكِتَـٰبِ ٱلَّذِى نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَٱلْكِتَـٰبِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ مِن قَبْلُ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِٱللَّهِ وَمَلَـٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـٰلًۢا بَعِيدًا ( ١٣٦)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kepada Allah, Rasul-Nya, Kitab yang diturunkan kepada Rasul-Nya, dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya, barangsiapa yang mendustakan Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan Hari Akhir, maka sungguh ia telah tersesat sejauh-jauhnya.” (Surah An Nisa: 136)

Berdasarkan potongan hadis ini pula:

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، قَالَ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، أَخْبَرَنَا أَبُو حَيَّانَ التَّيْمِيُّ، عَنْ أَبِي زُرْعَةَ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بَارِزًا يَوْمًا لِلنَّاسِ، فَأَتَاهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ مَا الإِيمَانُ قَالَ ‏"‏ الإِيمَانُ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَبِلِقَائِهِ وَرُسُلِهِ، وَتُؤْمِنَ بِالْبَعْثِ …‏‏‏"

Maksudnya: “Pada suatu hari ketika nabi sedang duduk bersama beberapa orang, Malaikat Jibril datang dan bertanya kepada baginda, "Apakah itu iman?" Rasulullah pun menjawab, 'Iman ialah beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, pertemuan dengan-Nya, rasul-rasul-Nya, dan beriman kepada hari kebangkitan…” (Sahih al-Bukhari)

Berdasarkan hadis dan ayat Al-Quran berikut, seseorang yang beriman wajib mempercayai Allah dan menerima segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya tanpa mempersoalkannya walaupun tidak mengetahui akan hikmah perintah itu. Kepercayaan dan pembenaran itu berlaku dengan dua perkara iaitu melalui hati yang dinamakan sebagai iman, dan juga dengan sifat lahiriah iaitu melalui perkataan dan amalan yang dinamakan sebagai Islam. Antara sebab mengapa ia penting untuk kita terapkan dalam kehidupan seharian adalah iman dapat melahirkan umat Islam yang:

  • Menerapkan rasa kepercayaan kepada Allah yang tinggi dan mempercayai Hari Kiamat.
  • Dapat melahirkan rasa takut kepada Allah dalam diri dengan mengurangkan rasa cinta kepada perkara duniawi secara keterlaluan dan melakukan dosa.
  • Mempercayai bahawa Islam adalah agama yang sempurna dan diredhai Allah dan hanya cara untuk mengecapi keberkatan dalam kehidupan.

Oleh hal yang demikian, iman merupakan kepercayaan yang perlu ada di dalam hati. Ia boleh bertambah dan berkurang dari masa ke semasa. Ia boleh bertambah dengan melakukan perkara yang baik seperti ibadah, manakala ianya boleh berkurang melalui perbuatan tidak baik seperti maksiat, meninggalkan perintah Allah dan lain-lain lagi.


3.0 MAKNA IHSAN

Ihsan merujuk kepada perbuatan melakukan kebaikan, kebajikan dan amal kepada orang lain dengan ikhlas atau melakukan ibadah dengan ikhlas dengan mengharap keredhaan Allah. Hal ini sesuai dengan ayat Al-Quran berikut:

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَـٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ (١٣٤)

Maksudnya: “(Mereka adalah) orang-orang yang bersedekah ketika senang dan susah, menahan amarahnya, dan memaafkan orang lain. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Ali Imran: 134)

Ihsan juga boleh merujuk kepada perbuatan beribadah secara ikhlas kepada Allah, seolah-olah mereka sedang melihat Allah ketika melakukan sesuatu ibadah. Hal ini sesuai dengan ayat Al-Quran dan potongan hadis berikut

…قَالَ مَا الإِحْسَانُ قَالَ ‏"‏ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ…

Maksudnya: Malaikat Jibril bertanya kepada Rasulullah, “Apakah ihsan itu?” Rasulullah menjawab, “Beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, maka Dia melihat kamu.” (Sahih al-Bukhari)

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًۭا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌۭ وَٱتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًۭا ۗ وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبْرَٰهِيمَ خَلِيلًۭا (١٢٥)

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus; dan Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.” (Surah An Nisa: 125)

Dalam Islam, Ihsan ialah tanggungjawab seorang Muslim untuk mendapatkan kesempurnaan dalam ibadah, sehingga orang Islam menyembah Allah seolah-olah mereka melihat-Nya, dan walaupun mereka tidak dapat melihat-Nya, mereka pasti percaya bahawa Dia sentiasa mengawasi mereka. Hal ini sesuai digunakan berdasarkan hadis ini:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ،

Maksudnya: "Allah telah menulis ihsan pada segala sesuatu." (Hadis Riwayat Muslim)


4.0 HUBUNGAN ISLAM, IMAN DAN IHSAN

Iman adalah asas kepada umat Islam yang menitikberatkan lima rukun dengan amanah sepenuhnya. Islam pula merupakan Iman dengan beramal dan beribadah demi mengharapkan keredhaan Allah. Apabila kita beribadah dengan ikhlas, tekun dan bersungguh-sungguh demi mengharapkan kecintaan dan keredhaan dari Allah dan beramal berdasarkan akhlak yang mulia, seorang Muslim itu termasuk dalam lingkungan Ihsan, sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah di dalam hadis yang diriwayatkan sebentar tadi. Iman, Islam dan Ihsan yang diyakini dan diamalkan melahirkan rasa tenang, aman dan bahagia yang ditunjukkan sebagai kesejahteraan diri.

Selain itu, ketiga-tiga komponen ini tidak bermakna tanpa amalan, kepercayaan dan perbuatan, ia tidak akan menghasilkan kesan positif kepada kesejahteraan diri individu. Malah, individu ini akan mengalami gangguan jiwa dan diri yang membawa kepada rasa kosong dalam diri. Tanpa disedari, jiwa itu akan kosong kerana kegagalannya memahami ketiga-tiga komponen ini secara mendalam. Hubungan antara iman, Islam dan ihsan secara amnya adalah iman adalah berkaitan dengan akidah, Islam berkaitan dengan syariah, dan ihsan berkaitan dengan akhlak. Berdasarkan tiga perkara tersebut, ia membentuk tiga bidang utama, iaitu akidah, syariah dan akhlak.

Oleh itu, ketiga-tiga hubungan ini boleh diibaratkan sebagai sebuah pohon, di mana akarnya mewakili iman, sedangkan seluruh bahagian pohon yang lain meliputi batang, dahan, daun, bunga dan buahnya sebagai Islam. Manakala kesuburannya, kekuatan akarnya dan kehijauannya mewakili ihsan. 

Oleh yang demikian, iman yang mantap akan melahirkan umat Islam yang beriman dan bertaqwa. Ihsan berfungsi sebagai pelengkap supaya amalan itu menjadi lebih berkualiti. Amalan Islam sahaja tanpa ihsan hanya sekadar amalan kosong yang tidak boleh menjadi kayu ukur dan tiada kualitinya. Malah, jika amalan Islam dan ihsan sahaja wujud tanpa sebarang bentuk keimanan yang mantap, keutuhan sesuatu pegangan dan amalan boleh goyah dan tumbang seperti pohon yang akar umbinya tidak dapat menyokong batang, daun, dahan dan buahnya.

Comments